Wednesday, February 24, 2016

Cara berpuasa di bulan ramadhan



Puasa (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai "menahan diri". Dari segi istilah syarak puasa bermaksud "menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar shadiq sehingga terbenam matahari berserta niat".

Puasa Ramadhan

Puasa Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadhan. Hukum puasa Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Niat Puasa Ramadhan

Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi  Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran.

Lafaz niat

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:

نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

atau

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa esok kerana Allah Taala.

Lafaz Niat Yang Lengkap:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

(nawaitu sauma ghadin an ada-i fardi ramadana hazihis sanati lillahi taala)

Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa, malah ada niat atau cita-cita di dalam hati untuk bangun sahur itu juga dikira sudah berniat untuk berpuasa kerana seseorang itu tidak bangun sahur atau bercita-cita bangun sahur melainkan bertujuan untuk berpuasa esok harinya, melainkan jika dia memang berniat tidak mahu berpuasa jika tidak terjaga semasa waktu sahur.

Menurut mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali bagi puasa Ramadhan itu wajib diniatkan pada setiap malam sepanjang bulan tersebut, waktunya mulai terbenam mata hari hinggalah sebelum terbir fajar pada malam-malam tersebut. Manakala mazhab Maliki pula menyatakan bagi puasa Ramadhan itu memadai diniatkan sekala sahaja iaitu pada malam pertama dengan meniatkan sebulan penuh.[1]

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

Lafaznya:

ﻧَﻮَﻳْﺖُ ﺻَﻮْﻡَ ﺷَﻬْﺮِ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥَ كُلِّهِ ﻟِﻠَّﻪِ ﺗَﻌَﺎﻟَﻰ

Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

(Nawaitu sauma syahri ramadana kullihi lillaahi ta’aalaa)

Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.

Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu lafaz niatnya:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ وَ إِلَى ءَاخِرِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala.

Waktu berniat

Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Perkara yang membatalkan puasa

Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:
  • Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh di siang hari
  • Mengeluarkan air mani dengan sengaja
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Hilang akal (seperti gila)
  • Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
  • Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
  • Murtad (keluar dari Islam)
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).

Mereka yang diizinkan berbuka puasa sebelum waktunya

Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:
  • Orang yang sakit .
  • Orang yang berkerja buruh.
  • Orang yang dalam perjalanan lebih dari 2 marhalah (musafir).
  • Orang tua yang sudah lemah.
  • Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Doa buka puasa
اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت
Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan.

.

0 comments:

Post a Comment

 
Design By Dytoshare - Published By MIFTAH.US